Memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin
akan menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai ancaman dari dalam dan luar
negara, kata ilmuan dan bekas rakan karib ketua pembangkang itu, Datuk Dr Sidek
Baba.
Sidek berkata beliau percaya banyak pihak tahu
perkara sebenar yang berlaku melibatkan Anwar, tetapi mereka tidak berani
menyampaikannya kepada khalayak.
"Ada sesuatu yang tidak kena pada integriti
Anwar. Integriti sangat penting tetapi kalau tampil dengan imej yang tercalar
mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut, apatah lagi orang dalam,
apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan rakyat," kata pensyarah
kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada pemberita
selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad di sini hari ini.
Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak
apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi
beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab -
masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti
Anwar.
Beliau berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir
hari ini selama sejam bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai
kemusykilan yang berbangkit berkaitan bekas rakan karibnya Anwar, yang
bersama-sama beliau berjuang dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
"Tun (Dr Mahathir) ialah seorang yang
teliti dan tidak mudah disogok dengan maklumat untuk jatuhkan timbalan (perdana
menteri) dia (Anwar).
"Bila saya masuk (tahanan) ISA (Akta
Keselamatan Dalam Negeri)(pada 1998) selama 16 hari saya juga didedahkan siapa
Anwar sebenarnya. Tidak mudah sekelip mata saya terima," katanya.
Sidek berkata beliau meninggalkan Anwar selepas
tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan
ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon
petunjuk.
"Ada orang kata saya tidak mengenang budi.
Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak
benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah
nanti.
"Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau
zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu
saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak
saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya,"
katanya.
Sidek juga berkata beliau tidak berniat mengaibkan
Anwar, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan
kemungkaran yang berlaku.
Beliau melahirkan kesediaan untuk bertemu dengan
mana-mana pihak bagi menjelaskan pendiriannya itu dan berharap ia
digunakan sebaik mungkin, dan turut membidas penulis blog yang menghentam
tindakan beliau itu tanpa mendapatkan penjelasan daripadanya.
Kepada pihak yang cuba menyifatkan pendedahannya
sebagai satu konspirasi, Sidek mencabar mereka mengemukakan bukti bagi melawan
hujah yang beliau tampilkan.
Ditanya kesediaannya jika dicabar Anwar untuk
berdebat, beliau berkata: "Untuk apa? Untuk kebenaran atau cuma silat
lidah?" Sidek dalam pada itu berkata PAS
perlu meneliti semula prinsip perjuangan asal parti itu yang dilihat sudah
tergadai selepas bersama dalam pakatan pembangkang.
Sambil memuji Barisan Nasional yang terbukti boleh
mentadbir dengan baik berdasarkan jejak rekod yang ada, Sidek berkata
jika ada pihak yang berhasrat melakukan perubahan rejim, mereka perlu
mengambil kira masalah yang bakal timbul dalam menguruskan kejayaan perubahan
itu.
No comments:
Post a Comment