Rakyat Perak menjadi saksi kepada komitmen dan usaha yang
dilakukan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional bagi memastikan setiap
rakyat di semua lapisan tidak terlepas bersama-sama menikmati hasil kemakmuran
dan kemajuan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata,
sejak menerajui Perak pada 6 Februari 2009, beliau bersama-sama barisan Exco
dan anggota pentadbiran telah berikhtiar sedaya upaya untuk mencetus dan
melaksanakan pembaharuan serta perubahan sebenar yang berpaksikan kepada
Gagasan Perak Amanjaya – Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir serta menjunjung
falsafah 1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Dalam tempoh empat tahun ini, saya bersama-sama barisan
Exco dan ADUN telah bersama-sama berada di lapangan, mendengar dan menyelami
denyut nadi rakyat dalam mencari penyelesaian kepada resah getir masalah
rakyat,” katanya ketika sidang media khas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan
Negeri Ke 12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh petang ini.
Hadir sama barisan Exco kerajaan negeri Perak, wakil-wakil
parti komponen BN dan wakil anggota pentadbiran negeri.
Sidang media itu diadakan sebaik sahaja beliau selesai
mengadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala
Kangsar untuk memohon perkenan membubarkan DUN Perak Ke 12.
Dr Zambry berkata, pilihanraya akan diadakan pada bila-bila
masa dan inilah saatnya rakyat membuat pilihan untuk menjamin masa depan yang
cemerlang, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak cucu generasi
akan datang.
Katanya, sejak 55 tahun lalu,rekod serta keupayaan BN telah
terbukti di dalam menjamin kestabilan, keamanan dan memberikan perkhidmatan
kepada rakyat.
Sambil mengakui bahawa kerajaan BN juga tidak terlepas
daripada kelemahan dan kekurangan, beliau memberi jaminan, ia telah dan akan
diperbaiki dari masa ke semasa.
“Kami tidak pernah menuding jari atau menyalahkan orang lain
jika ada kelemahan yang berlaku. Barisan Nasional juga tidak bermain dengan
politik kebencian atau memecah-belahkan rakyat,” tambah beliau.
Malah, kata beliau, BN dengan sedaya upaya telah berikhtiar
memastikan tiada rakyat yang tertinggal dan terpinggir dalam mencapai kemajuan
dan keamanan negeri Perak.
Sehubungan itu, Dr Zambry meminta rakyat menilai BN
berdasarkan pencapaian yang dilaksanakan, bukannya tohmahan atau fitnah yang
dilemparkan secara melulu.
Beliau memberi jaminan, kerajaan yang ada sekarang akan
meneruskan tugas dan tanggungjawab, sesuai dengan prinsip keluhuran
Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sehingga prosese pilihan raya
selesai.
Dr Zambry yakin, rakyat akan terus memberi sokongan kepada
BN dan beliau serta kepimpinan parti akan terus turun padang bertemu
rakyat di seluruh pelusuk negeri bagi meyakinan rakyat mengapa BN perlu diberi
peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majority yang kukuh.
“Kami akan menggunakan mandat yang diberi, Insya Allah untuk
melipat gandakan lagi usuaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, lebih
bermakna, lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita
semua,” tambah beliau.
Di akhir pengumumannya, Menteri Besar menyeru rakyat supaya
bersatu untuk terus maju ke arah mencapai Perak Amanjaya – Negeri Perak yang
aman dan berjaya.
No comments:
Post a Comment