Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah
membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan
bahawamerokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya
terdapat kemudharatan
Keterangan/Hujah:
1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada
kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok
mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap
rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang
boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah
kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko
bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan
dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa
jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong,
kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata
berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru,
emfisema paru-paru dan banyak lagi.
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju
atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat
oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang
bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada
lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser,
iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah
pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada
sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat
berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga
mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan
dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan
fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu
makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh
memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang
mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan)
ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana
pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya
haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan
harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas
berikut:
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang
bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
bahaya kebinasaan”.
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang
bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan
mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak
boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”.(Hadith riwayat
Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
d. Kaedah Usul Fiqh: درء
المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “
menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7,
halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”.
Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh
Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah
mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok,
menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya
terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil
Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan
kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam
Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak
mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia
mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan
dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir
telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci
al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah
diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan
hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith,
Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan
hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir
dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:
“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah
kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul
Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah
keturunan, akal dan juga harta.
INFO DARI - EFATWA
Nayer ler...
ReplyDelete