Anjing dan manusia sudah lama berhubungan rapat. Tulang-tulang
anjing primitif telah dijumpai bersama rangka-rangka manusia di dalam gua-gua
Zaman Batu. Pada mulanya haiwan ini mungkin telah dilatih untuk membantu
manusia dalam pemburuan dan penjagaan unggun api mereka, tetapi apabila masa
beredar, dengan beransur-ansur, anjing menjadi sesuai dengan peranan kini
sebagai pembantu yang setia dan teman yang rapat bagi manusia.
Ahli-ahli sejarah yang terawal telah menyebut mengenai
anjing. Makam-makam dan rumah-rumah berhala di Mesir, yang dibina 5,000 tahun
dahulu, dihiasi dengan gambar-gambar anjing. Dan diketahui bahawa orang-orang
Mesir menyanjung anjing dengan tinggi serta menganggapnya suci, dan seperti
diberitahu oleh Herodotus, seorang ahli sejarah Greek, apabila seekor anjing
mati di rumah orang Mesir, seluruh keluarga itu akan berkabung.
Orang-orang Ethiopia zaman dahulu sangat menghormati anjing
sehingga melantiknya menjadi raja serta memerhatikan kelakuannya dengan teliti
untuk melihat sama ada ia boleh memberitahu apa yang difikir harus dilakukan
dalam urusan kerajaan. Diketahui daripada gambar-gambar pada monumen-monumen
orang-orang Assyria zaman dahulu bahawa mereka telah menggunakn anjing
"mastiffs" untuk memburu sejak 600 S.M. lagi.
Orang-orang Greek dan Rom juga menggunakan anjing untuk
memburu, sementara untuk pertempuran, mereka senjatakan anjing-anjing berkenaan
dengan relang leher yang dipasang pepaku. Mereka juga membela anjing-anjing
pengawal dan anjing gembala biri-biri di samping anjing-anjing untuk menjadi
teman mereka.
Di sepanjang sejarah mereka, anjing telah disayangi dan
dihormati oleh kebanyakan daripada manusia di dunia ini, tetapi dengan sedikit
pengecualian. Orang-orang Yahudi daripada Perjanjian Lama menghina anjing,
terutamanya kerana mereka adalah pebangkai - iaitu memakan apa sahaja carikan
yang dijumpai - dan kerana itu mereka dianggap pembawa penyakit. Orang-orang
Hindu di India masih menganggap anjing sebagai binatang yang kotor dan mereka
tidak akan mengotori tangan mereka dengan menyentuhnya. Dan orang-orang Islam
juga.
Kebanyakan daripada orang Islam menganggap anjing sebagai
najis. Ia tidak boleh disentuh atau dipegang pun. Apabila disentuh atau
dipegang maka bahagian anggota badan yang terlibat harus dibasuh dengan air
yang dicampur dengan tanah. Rumah-rumah yang dimasuki atau didiami anjing juga
dibasuh dengan air yang serupa.
Sebenarnya, Allah tidak mengajar menyifatkan anjing seperti
itu. Ayat-ayat al-Qur'an mengenai anjing tidak mengkategorikannya sebagai
najis. Sebaliknya ia disebut sebagai teman bagi orang-orang yang percaya kepada
Allah. Mereka yang percaya itu adalah pemuda-pemuda yang lari daripada
orang-orang yang tidak percaya dan mengambil perlindungan di dalam sebuah gua
(al-Kafhi). Allah membuatkan mereka dan anjingnya tidur selama "tiga
ratus tahun, dan ditambahsembilan" (18:25) dan kemudian
membangkitkan mereka. Ayat-ayat yang berikut adalah sebahagian daripada
ceritanya iaitu yang mengandungi perkataan "anjing":
"Kamu menyangka bahawa mereka jaga, sedang mereka
tidur, sementara Kami membalik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, dan anjing mereka
menjulurkan lengannya di ambang." (18:18)
"Mereka akan berkata, 'Tiga, dan anjing mereka
yang keempat di antara mereka.' Dan mereka berkata, 'Lima, dan anjing mereka
yang keenam di antara mereka', dengan meneka terhadap yang ghaib. Dan mereka
berkata, 'Tujuh, dan anjing mereka yang kelapan di antara
mereka.'" (18:22)
Ceritanya bermula dari ayat 18:9 dan berakhir
dengan ayat 18:25. Itu adalah cerita anjing sebagai teman yang rapat dan
pengawal bagi orang-orang yang percaya, atau beriman, kepada Allah. Allah juga
menyebut mengenai anjing yang dilatih untuk memburu. Apa yang ditangkapnya
(dengan mulut) adalah halal dimakan setelah nama Allah disebut ke atas makanan
itu. Firman-Nya,
"Mereka menanyai kamu mengenai apa-apa yang
dihalalkan bagi mereka. Katakanlah, 'Benda-benda yang baik adalah dihalalkan
bagi kamu; dan daripada binatang berburu yang kamu mengajari, dengan melatih anjing untuk memburu,
dengan mengajarnya seperti Allah mengajar kamu, maka makanlah apa yang ia
menangkapkan untuk kamu, dan ingatlah (sebutlah) nama Allah padanya. Takutilah
Allah; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.'" (5:4)
Apa yang digonggong oleh anjing tersebut adalah halal
dimakan. Maka, di manakah pula terletak kenajisan pada anjing?
Anjing adalah ciptaan Allah yang berguna bagi manusia.
Ribuan anjing telah menyelamatkan ramai manusia, telah bekerja untuk manusia
tanpa penat, dan telah menunjukkan kepada mereka akan persahabatan yang abadi.
Terdapat anjing-anjing yang dipercayakan dengan kawanan
biri-biri yang banyak dan menjaga mereka malam dan siang. Terdapat juga mereka
yang merangkak melalui ice dan salji untuk menyelamatkan manusia yang sesat di
gunung-gunung, dan yang lain menyelamatkan ramai manusia daripada mati lemas.
Anjing telah menarik kereta luncur salji dan sehingga kini pun masih menghantar
surat ke bahagian utara yang bersalji.
Semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua ribuan anjing telah
berkhidmat sebagai pembawa berita, sentri, penangkap tikus dan anjing Red Cross
(Bulan Sabit Merah), di samping sebilangan lain dilatih untuk menyerang musuh.
Mereka telah menyelamatkan ramai manusia.
Anjing terus diguna untuk mencari dan menyelamat, untuk
keselamatan di udara, untuk mengesan senjata api dan dadah, dan musuh,
jerangkap samar, atau bom. Juga terdapat anjing yang dilatih untuk mengesan
batu zamrud di lombong-lombong dan penyakit kanser prostat di dalam sampel air
kencing. Tentu ada lagi kegunaan anjing yang tidak disebut di sini.
Mereka adalah haiwan yang berguna, tetapi lebih sayangi lagi
daripada mereka adalah ribuan yang lain, yang menjalani kehidupan biasa. Anjing
tidak sebegitu berani dan tidak juga sebegitu bijak, namun mereka sentiasa
setia, teman-teman yang disayangi.
Haiwan yang tiada serupanya ini adalah pemberian daripada
Allah. Mengapa pula orang Islam menolaknya? Atau mendustakannya.
Allah telah membuat anjing sebagai satu persamaan. Lebih
tepat, anjing yang menjulurkan lidah. Ia menjulurkan lidah apabila berasa
panas. Sama seperti hidungnya yang basah (suatu petanda baik baginya) apabila
ditiup angin akan menyejukkan badannya. Anjing tidak berpeluh. Apapun,
persamaannya adalah dengan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah,
berbunyi,
"Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami
menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung kepada bumi, dan mengikuti
keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya,
ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya
juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah
ceritanya supaya mereka memikirkan." (7:176)
Orang itu ingin dinaikkan (darjatnya) dengan ayat-ayat Allah
tetapi dia, sebaliknya pula, cenderung kepada dunia dan mengikuti kehendaknya.
Dia enggan mengikuti kehendak Allah. Lalu mendustakannya. Dia adalah sama
dengan anjing yang menjulurkan lidah yang tidak akan beranjak dari tempat ia
berada.
Tapi di sebabkan hadith...anjing jadi mangsa..
ReplyDelete