Misteri sama ada benar atau tidak Datin Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail pernah menulis surat setebal 18 muka surat kepada bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menceritakan tabiat sebenar suaminya,
Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terjawab.
Ini berikutan buat pertama kalinya selepas 15 tahun
menyimpan rahsia, Dr. Mahathir dalam temu bual eksklusif bersama Utusan
Malaysia akhirnya mengakui memang benar Wan Azizah menghantar surat tersebut
semasa Anwar masih bergelar Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, surat Wan Azizah itu terlalu peribadi dan beliau
tidak berhasrat mendedahkan kandungannya kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana
pihak selain menyifatkannya tidak lagi penting kerana sudah terlalu banyak
tabiat Anwar didedahkan pengamal media alternatif.
"Saya setakat boleh kata memang ada terima sahajalah.
Surat yang diberi kepada saya secara sulit, jadi saya tidak boleh dedahkan
kepada orang tetapi kita boleh lihat, tanpa surat itu pun bersih atau tidak
bersih individu berkenaan. Jadi apa perlunya kita rujuk kepada surat yang
sulit.
"Dia (Wan Azizah) memang cuba nak pertahankan (Anwar)
juga. Isteri ada kesetiaan kepada suami. Hendak buruk-burukkan itu tidaklah
tetapi kecewa itu adalah. Lebih utama apa yang kita lihat (sekarang) bukan soal
apa yang Wan Azizah kata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengesahkan
sama ada benar atau tidak Wan Azizah pernah menyerahkan surat rahsia setebal 18
muka surat menceritakan mengenai kisah sebenar suaminya dengan harapan bekas
Perdana Menteri itu boleh membantu.
Ditanya mengapa begitu lama menyimpan rahsia tersebut
meskipun pelbagai tuduhan keji dilemparkan ekoran tindakannya memecat Anwar,
Dr. Mahathir berkata, beliau bukan jenis manusia yang suka memburuk-burukkan
pihak tertentu tanpa sebarang asas kukuh.
"Cuma dalam konteks ini, takut orang seperti itu
berkuasa saya terpaksa dedahkan tetapi yang lain semua (kandungan surat) yang
tidak memberi manfaat, tidak perlu saya dedahkan," katanya.
Temu bual bersama Tun Dr. Mahathir boleh diikuti dalam
Mingguan Malaysia esok.
No comments:
Post a Comment