Manifesto BN Perak Untuk Terjemahkan Gagasan Perak
Amanjaya
-Memenuhi Amanah Rakyat Berlandaskan 82 Akujanji
Tambahan-
Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Perak dilancarkan
dengan iltizam untuk menterjemahkan gagasan Perak Amanjaya yang berpaksikan
kepada peluang, pendapatan dan kehidupan berkualiti melalui sebuah kerajaan
yang akan melaksanakan 5 akujanji.
Lima akujanji itu ialah:-
1. Kerajaan yang inklusif dan
menjamin keadilan untuk segenap rakyat
2. Kerajaan yang stabil bagi menjamin
keamanan
3. Kakitangan yang efektif,
berintergriti dan cekap
4. Kerajaan yang mesra pelabur bagi
tingkatkan pertumbuhan ekonomi negeri
5. Kerajaan yang terbuka dan mesra
rakyat.
Manifesto itu mengandungi 11 teras utama dengan 82 akujanji
tambahan, selain yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, untuk
kehidupan dan peluang berkualiti rakyat.
11 teras utama itu ialah:-
1. Kesejahteraan rakyat
2. Perumahan rakyat
3. Memacu ekonomi untuk rakyat
4. Keselamatan dan ketenteraman
rakyat
5. Pembangunan seimbang untuk rakyat
6. Masyarakat berkemahiran, berilmu
dan berintergriti
7. Kecekapan penyampaian demi
keselesaan rakyat
8. Memelihara toleransi beragama demi
rakyat
9. Generasi muda harapan rakyat
10. Mengantarabangsakan negeri Perak
11. Meningkatkan peranan wanita demi memperkasakan
rakyat
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak
mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 6 Februari 2009, BN mengambil
pelbagai inisiatif untuk memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.
“Manifesto Barisan Nasional bagi PRU-13 ini tidak terisi
dengan angan-angan, juga tidak dipenuhi dengan omong-omong kosong, jauh sekali
dari menjanjikan bulan dan bintang, yang tidak mungkin boleh dilaksanakan,”
katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN Negeri Perak pada Perhimpunan
Rakyat Parlimen Padang Rengas hari ini.
Hampir 10,000 pemimpin, ahli dan penyokong BN menghadiri
perhimpunan tersebut yang turut dihadiri oleh calon-calon BN.
Dr. Zambry berkata, segala yang termaktub di dalam manifesto
ini, InsyaAllah akan dilaksanakan kerana BN berpegang teguh kepada prinsip dan
amalan janji ditepati, bukannya janji dimungkiri.
Menurut beliau, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan
negeri Perak pada 6 Februari 2009, BN telah mengambil pelbagai inisiatif untuk
memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.
Beliau menambah, melalui pendekatan pentadbiran yang terbuka
dan telus, banyak kejayaan dan pencapaian yang telah dinikmati.
“Program turun padang dengan pendekatan 3P, Barisan Nasional
memahami denyut nadi rakyat, menyelami perasaan rakyat dan menawarkan
penyelesaian kepada mereka,” ujar beliau.
Katanya, BN sentiasa berusaha untuk menambahbaik dasar-dasar
dan program bagi manfaat rakyat demi memastikan tiada yang tertinggal, tiada
yang terpinggir.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas
pelancaran manifesto tambahan itu, Dr Zambry berkata, berbeza dengan manifesto
pembangkang, manifesto yang dikemukakannya realistik dan mampu dilaksanakan.
“Dengan adanya akujanji tambahan ini ia akan memberikan satu
lagi dimensi untuk negeri Perak kita, selain daripada apa yang telah diumumkan
di peringkat nasional, termasuk juga untuk negeri Perak oleh YAB Datuk Seri
Najib Tun Razak,” ujar beliau.
Berikut teras utama yang ditawarkan. klik untuk lihat sepenuhnya :-